BELANJAWAN 2024 > BERITA

Lantang Bersuara Hentikan Perang Gaza, Bina Semula Institusi Pendidikan - Dr Wan Azizah

09/09/2024 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Masyarakat dunia diseru bersatu dalam menyuarakan desakan menghentikan perang di Gaza, yang telah memusnahkan institusi pendidikan di Palestin, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata komuniti global perlu bersatu dan lantang bersuara dalam memperjuangkan ketidakadilan dihadapi guru dan pelajar Palestine.

"Berkumpulnya kita di sini hari, disatukan oleh komitmen kita untuk melindungi pendidikan, saya menggesa para peserta utama persidangan ini untuk mengeluarkan satu kenyataan yang kuat bersama.

"Bersama-sama, suara kita boleh didengari secara global, mendesak dihentikan keganasan yang menghakis asas pada masa depan yang aman," katanya dalam ucapan pada Sesi Kelima Hari Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Melindungi Pendidikan daripada Serangan, bertemakan The Human Cost of War, di Doha, Qatar, hari ini.

Beliau menekankan perkara itu sememangkan benar dan bahawa pendidikan mestilah diakui sebagai perkara asas dalam bantuan kemanusiaan seperti penjagaan kesihatan.

"Seperti kita menyembuhkan luka dan menyediakan tempat perlindungan, kita perlu mendidik dan memelihara minda anak-anak. Pendidikan bukanlah benda mewah - ia ialah hak asas dan satu talian hayat," katanya.

Dr Wan Azizah berkata pendidikan penting bagi kelangsungan hidup seorang kanak-kanak, sama penting seperti makanan dan perubatan. 

Katanya dalam membangunkan semula komuniti, pendidikan mestilah diutamakan agar menjadi obor harapan dalam puing-puing.

Persidangan itu memfokuskan pada impak dahsyat perang pada kanak-kanak dan hilangnya peluang pendidikan kemungkinan bagi seluruh generasi yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berlarutan dan meluas.

Para peserta persidangan terdiri daripada pemimpin, pakar, penggiat kempen, persatuan sivil dan belia antarabangsa yang bersatu bagi menyokong tindakan global untuk melindungi pendidikan daripada serangan.

Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), lebih 625,000 kanak-kanak Palestin di Gaza telah dinafikan hak mereka untuk pendidikan sejak bermulakan serangan Israel ke atas kawasan yang terkepung itu pada 7 Okt 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan