BELANJAWAN 2024 > BERITA

Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat Kepada 1,384 Orang

30/09/2024 04:49 PM

ALOR SETAR, 30 Sept (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,384 orang daripada 444 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 1,359 orang daripada 436 keluarga pagi tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Kubang Pasu telah ditutup, menjadikan 10 PPS masih beroperasi setakat ini.

Daerah Pokok Sena masih mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 737 orang daripada 233 keluarga ditempatkan di PPS Surau Desa KEDA Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.

Di Kota Setar, 411 orang daripada 129 keluarga berlindung di PPS SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah.

Sebanyak 236 orang daripada 82 keluarga di Kubang Pasu pula masih berada di PPS Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 4 petang, beberapa sungai melebihi paras bahaya iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu merekodkan 9.17 meter melebihi paras bahaya 9.14 meter dan Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu mencatat 4.15 meter melebihi paras bahaya 3.8 meter.

Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar (3.14 meter, paras bahaya 2.6 meter), Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar (1.78 meter, paras bahaya 1.7 meter) dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang (6.59 meter, paras bahaya 6.3 meter).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan