BELANJAWAN 2024 > BERITA

KLSICCI Cadangkan Langkah Inklusif Untuk PMKS Tingkatkan Pertumbuhan Ekonomi

01/10/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) – Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Selangor dan Kuala Lumpur (KLSICCI) telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk memajukan dan memperkasa perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2025 sambil menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Presiden KLSICCI Nivas Ragavan di dalam surat yang dialamatkan kepada Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menekankan pentingnya bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh PMKS terutamanya dalam kalangan masyarakat perniagaan India.

 "PMKS membentuk 98 peratus daripada ekosistem perniagaan di Malaysia, dengan hampir 70 peratus daripadanya merupakan pemilik perniagaan mikro. Banyak daripada perniagaan ini telah mengalami kemerosotan selama lebih dari satu dekad," kata Nivas dalam surat bertarikh 12 Ogos yang diberikan kepada Bernama. 

Beliau menegaskan cabaran selepas COVID-19 telah memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menyeru kepada pihak-pihak berkaitan untuk campur tangan segera.

Selain itu, KLSICCI juga mencadangkan keperluan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar lebih rendah sebanyak tiga peratus.    

Menurut KLSICCI, ini akan memperkemaskan struktur cukai sambil menyediakan asas pendapatan yang stabil untuk kerajaan.

"Kadar GST sebanyak tiga peratus menawarkan pendekatan yang seimbang, menyokong kemampanan fiskal tanpa membebankan perniagaan dan pengguna secara berlebihan," katanya.

Cadangan lain termasuklah meningkatkan sokongan kepada usahawan pertanian, memudahkan beban pentadbiran untuk PMKS dengan mengecualikan keperluan e-invois bagi perniagaan yang mencatat perolehan tahunan di bawah RM500,000 serta menawarkan pilihan pembiayaan mampu milik dengan kadar faedah serendah 3.0 hingga 3.5 peratus.

Nivas berkata usahawan perlu diperkasakan terutamanya kepada mereka yang baru memulakan perniagaan melalui skim sokongan yang disasarkan seperti program yang dicadangkan, 'Start My Enterprise'.

KLSICCI juga menyeru agar tumpuan yang lebih diberikan kepada kedudukan Malaysia sebagai hab untuk penjagaan kesihatan integratif, mencadangkan peruntukan belanjawan untuk mempromosikan perubatan tradisional dan pelengkap.

“Dengan menyepadukan perubatan tradisional dengan amalan penjagaan kesihatan moden, Malaysia boleh meningkatkan reputasinya di peringkat global dan menarik pesakit antarabangsa,” katanya.

KLSICCI juga menggesa kerajaan untuk memastikan dasar-dasar inklusif yang menyokong semua rakyat Malaysia dalam dasar ekonomi afirmatif berasaskan keperluan yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan salah satu inisiatif asas kerangka Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan