BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Di Kedah Menurun

01/10/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang melanda tiga daerah di Kedah menurun daripada 1,148 orang petang tadi kepada 840 orang setakat 8 malam ini dan semuanya ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS). 

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 338 orang diikuti Baling (257 orang) dan Pokok Sena (245 orang). 

PPS Masjid Kampung Baru Jalan Lampam dan Surau Desa KEDA Derang ditutup petang tadi.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar telah melepasi paras bahaya manakala Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang melebihi paras amaran.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal 16 orang dengan beberapa kawasan masih hujan. 

Kesemua mangsa dari Kampung Batu 20 dan Kampung Baru, Kuala Dipang serta Kampung Pulau Pisang, Malim Nawar ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Azman Mahalan, Kampar. 

JPS memaklumkan Sungai Perak di Kuala Kenderong dalam daerah Hulu Perak berada pada tahap bahaya dengan bacaan paras air setinggi 113.80 meter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan