BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tokyo Game Show 2024 Tarik Lebih 274,000 Peserta Seluruh Dunia

01/10/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- The Tokyo Game Show (TGS 2024) yang diadakan dari 26 hingga 29 Sept, 2024 di Makuhari Messe di Chiba, Jepun, berjaya menarik 274,739 peserta, meningkat daripada 243,238 peserta pada 2023.

Daripada jumlah itu, segmen perniagaan yang dianjurkan pada 26 hingga 27 Sept, 2024 menarik 87,180 peserta (42,031 pada 26 Sept, 2024 dan 45,149 pada 27 Sept, 2024).

 Pada hari umum pula, ia menarik seramai 187,559 peserta (97,786 pada 28 Sept, 2024 dan 89,773 pada 29 Sept, 2024).

Bertemakan "Meneroka Dunia Melalui Permainan," TGS 2024 dianjurkan oleh Persatuan Pembekal Hiburan Komputer (CESA), Nikkei Business Publications Inc dan Dentsu Inc.

Dalam satu kenyataan hari ini, penganjur berkata jumlah keseluruhan penonton program rasmi TGS 2024 dan pelawat dalam talian ke TGS Digital World 2024 akan diumumkan kemudian.

“Tokyo Game Show seterusnya akan diadakan dari 25 hingga 28 September 2025, di Makuhari Messe. Nantikan kemas kini mengenai acara yang sedang berkembang ini,” katanya.

Menurut penganjur, TGS 2024 turut menampilkan penyertaan Malaysia dengan pelancaran Pavilion Malaysia yang mempamerkan 10 syarikat permainan.

Katanya, syarikat yang terlibat menonjolkan inovasi kepada pasaran global sambil meneroka kerjasama dengan pemaju permainan antarabangsa, pencipta kandungan dan syarikat teknologi.

"Dikoordinasikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), syarikat yang mengambil bahagian termasuk Adticles, Ammobox Studios, Bear Down Studios, Dreamscapes Edtech, Esolved MSC, Goolee, Magnus Games Studio, Rcade Studio, Why Knot dan Todak Studios.

"Aktiviti utama di Pavilion Malaysia termasuk pertemuan peringkat tinggi, padanan perniagaan dan jaringan dengan penerbit permainan Jepun serta inkubator teknologi seperti Bandai Namco Studio, Nintendo, dan IMDA Singapura," kata kenyataan itu.

Menurut penganjur lagi, sepanjang TGS 2024 yang berlangsung selama empat hari, MDEC dan MATRADE telah mempermudah lebih 150 padanan perniagaan berpotensi untuk syarikat Malaysia.

Katanya, eksport kandungan permainan digital Malaysia dijangka menunjukkan pertumbuhan yang ketara pada tahun ini, dengan Jepun muncul sebagai pasaran utama di tengah-tengah unjuran global untuk industri permainan, yang dijangka mencapai US$187.7 bilion pada tahun 2024. (US$1 = RM4.12).

Sementara itu, penerbit permainan video Jepun, Bandai Namco sedang bekerjasama dengan pemaju permainan Malaysia, termasuk Passion Republic dan Virtuous Kuala Lumpur untuk membantu dalam pembangunan karya asli dan harta intelektual (IP).

Pasaran permainan Jepun dijangka mencapai 66 juta pengguna menjelang 2029 dan menjana US$44.41 bilion dalam pendapatan menjelang akhir 2024, menjadikannya satu daripada yang terbesar di dunia.

Pasaran permainan global dijangka mencapai US$503.14 bilion menjelang 2025 dengan Asia Pasifik dijangka kekal sebagai pasaran teratas di seluruh dunia.

— BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan