BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pandelela Mampu Kekal Konsisten - Bryan Nickson Lomas

10/10/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengarah teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas yakin Datuk Pandelela Rinong mampu mengumpul sekurang-kurangnya 290.00 mata pada Terbuka Malaysia 2024 di Pusat Akuatik Nasional di sini bulan depan.

Beliau menyuarakan keyakinan itu selepas ratu terjun negara yang memenangi dua pingat Sukan Olimpik berkenaan berjaya mengumpul 300.90 mata dalam acara terjun 10 meter (m) platform wanita pada ujian kebangsaan bulan lepas.

“Saya gembira melihat Pandelela memperoleh lebih 300.00 mata dalam ujian kebangsaan, yang pertama selepas dua tahun. Dari segi pemarkahan, ia agak mengagumkan baginya kerana keputusan juri yang ketat (termasuk juri asing) semasa ujian.

“Dia perlu mengumpul 290.00 mata untuk mengukuhkan kedudukannya berdasarkan markah kelayakan minimum (MQS) bagi mewakili negara seperti Kejohanan Dunia tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Kali terakhir ratu terjun kelahiran Sarawak itu mengumpul lebih 300 mata adalah pada Grand Prix Terjun FINA 2022, ketika beliau merangkul emas dalam acara 10m platform wanita dengan 324.70 mata.

Bryan berkata Pandelela dan penerjun lain termasuk skuad simpanan mempunyai peluang terakhir untuk membuktikan kehebatan masing-masing dalam ujian kebangsaan yang akan diadakan seawal Februari tahun depan.

Bekas atlet Sukan Olimpik itu berkata pasukan kejurulatihan kemudian akan memilih mereka yang benar-benar layak untuk menyertai kejohanan utama atau temasya sukan.

Beliau berkata kira-kira 50 penerjun dari lapan negara termasuk Singapura, Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Mexico akan menyertai Terbuka Malaysia 2024.

“Penerjun berpengalaman Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises antara wakil negara yang akan menyertai Terbuka Malaysia 2024,” katanya.

Sementara itu Bryan berkata pemenang pingat emas Sukan Malaysia 2024, Elvis Priestley Clement dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 Lee Yiat Qing antara lapan penerjun yang akan beraksi pada Kejohanan Akuatik Remaja Dunia 2024 di Brasilia, Brazil dari 24 Nov-1 Dis.

Beliau berkata penerjun remaja yang akan mengambil bahagian pada kejohanan di Brasilia tidak akan bersaing pada Terbuka Malaysia 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan