BELANJAWAN 2025 > BERITA

Melaka Laksana Kajian Terperinci Cari Kaedah Penambahbaikan Atasi Masalah Banjir

15/10/2024 07:52 PM

JASIN, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka akan melaksanakan kajian terperinci untuk mencari kaedah penambahbaikan untuk mengatasi masalah banjir terutama di kawasan tanah rendah.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia berikutan perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan bencana banjir berlaku tanpa dijangka.

“Keadaan ini jarang-jarang berlaku namun ketidaktentuan cuaca menyebabkan banjir seterusnya mengubah landskap kehidupan dan struktur kawasan terjejas.

“Justeru, kajian akan dibuat sebelum kita mendapat beberapa kesimpulan untuk penambahbaikan mencegah risiko banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum di Merlimau hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat bencana itu di sini.

Ab Rauf turut menasihati ibu bapa supaya mengawal gerak-geri dan keselamatan anak mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Jadi saya menyeru rakyat Melaka terutamanya di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada kerana menurut ramalan kaji cuaca, keadaan ketidaktentuan ini akan berlarutan hingga hujung tahun," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan