BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bayi Baru Lahir Di Hospital Gaza Berdepan Risiko Kematian Di Tengah Peningkatan Serangan Israel

17/10/2024 08:51 PM

BANDARAYA GAZA, 17 Okt (Bernama-Anadolu) -- Bayi baru lahir dalam inkubator berdepan risiko kematian di Hospital Kamal Adwan di tengah-tengah serangan Israel yang berterusan di utara Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

“Malapetaka kemanusiaan sebenar sedang mengancam nyawa bayi baru lahir di unit rawatan neonatal hospital itu,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.

Kementerian Kesihatan berkata inkubator hospital itu berisiko tidak lagi berfungsi akibat kekurangan bahan api dan ubat-ubatan yang teruk.

Tentera Israel pada 6 Oktober memulakan serangan ketiga di utara Gaza sejak bermulanya konflik di wilayah itu tahun lepas, dengan mendakwa serangan itu bertujuan untuk “menghalang Hamas daripada mendapatkan semula kekuatan di kawasan itu.”

Bagaimanapun, rakyat Palestin berhujah bahawa Israel kali ini bertujuan untuk menduduki utara Semenanjung Gaza dan mengusir penduduknya.

Lebih 300 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan terbaru itu di tengah-tengah pengepungan ketat tentera Israel ke atas kawasan berkenaan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Israel meneruskan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyeru gencatan senjata segera.

Sejak itu, lebih 42,400 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 99,100 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan