BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Kutuk Kekejaman Berterusan Rejim Zionis Israel Di Gaza

17/10/2024 08:56 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadap dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel ke atas Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah dan pengepungan haram di Kem Pelarian Jabalia, menurut Kementerian Luar Negeri.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa imej ngeri mangsa dibakar dalam keadaan masih hidup hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid berterusan yang dilakukan rejim Zionis Israel di Gaza.

"Imej sedemikian menunjukkan kempen keganasan rejim Zionis Israel yang jelas bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri menyatakan malapetaka kemanusiaan di Gaza mencapai tahap yang tidak masuk akal.

Namun rejim Zionis Israel terus menerus membuat serangan tanpa henti, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pada masa yang sama menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian aman, tambahnya.

"Malaysia sekali lagi mengulangi desakan agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri menyatakan bahawa kegagalan untuk bertindak menghentikan kekejaman ini merupakan persekongkolan dan mengancam sebarang harapan bagi mencapai keamanan.

"Kami (Malaysia) menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam dengan memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya serta menegakkan keutuhan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang," tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Malaysia akan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. 

Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah dan keadilan dan akan terus memperjuangkan hak mereka di pentas global, tambah kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan