BELANJAWAN 2025 > BERITA

JKNT Laksana 2,632 Sesi Advokasi Akta 852 Berkaitan Kawalan Produk Merokok

20/10/2024 07:30 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah melaksanakan sejumlah 2,632 sesi advokasi bagi memberi penerangan mengenai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa 1 Okt lepas.

Pengarah JKNT Datuk Dr Kasemani Embong berkata sesi advokasi di bawah Op Cakna itu dijalankan oleh 326 anggota penguat kuasa di beberapa premis khususnya kedai menjual produk rokok.

Beliau berkata pihaknya juga membuka Bilik Gerakan Operasi Cakna 852 bagi menjawab soalan atau aduan awam berkaitan akta berkenaan di samping mengawal selia operasi penguatkuasaan.

"Op Cakna adalah kempen pendidikan yang bertujuan memastikan masyarakat mendapat pemahaman lebih mendalam mengenai peraturan dan larangan yang terkandung dalam Akta 852," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Op Cakna Akta 852 di sini hari ini.

Dr Kasemani berkata pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan telah dilaksana untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan akta berkenaan menerusi pengedaran risalah, ceramah, penggunaan papan tanda larangan merokok elekronik dan kempen di media sosial.

"Kerjasama antara JKNT dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa lain turut diadakan bagi menambah keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan," katanya.

Akta 852 mula dikuatkuasakan serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya pada 1 Okt lepas melibatkan beberapa aspek seperti peruntukan penjualan produk merokok berbentuk permainan serta peruntukan melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok selain tempat larangan penjualan merokok termasuk institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan