KUANTAN, 25 Okt (Bernama) -- BASF Petronas Chemicals (BPC) melancarkan barisan pengeluaran asid 2-etilheksanoik (2-EHAcid) kedua di tapak bersepadunya di sini bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Syarikat itu berkata sejak penubuhannya pada 2016, kilang 2-EHAcid telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan di rantau Asia Tenggara.
BPC dalam satu kenyataan hari ini berkata pecah tanah untuk barisan pengeluaran kedua itu telah dilaksanakan pada suku pertama 2023.
Katanya, ia mula beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2024 dengan menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 60,000 tan.
Dalam pada itu, Ahli lembaga Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi BASF SE Stephan Kothrade berkata pengembangan itu menandakan pencapaian penting dalam komitmen kumpulan kepada pertumbuhan yang menguntungkan selain penciptaan nilai.
"Sebagai sebahagian daripada strategi baharu kami, kami memberi tumpuan untuk meningkatkan jejak perniagaan teras kami dalam pasaran Asia yang berkembang pesat, memastikan syarikat memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat dengan produk berkualiti tinggi," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd Mazuin Ismail pula menekankan pengembangan ini mencerminkan kekuatan kerjasama yang berterusan di antara BASF dan Petronas serta komitmen bersama mereka terhadap pertumbuhan dan kerjasama.
"Kami teruja mengenai masa depan kilang ini. Kapasiti yang meningkat secara strategik meletakkan BPC untuk terus merebut peluang pertumbuhan di rantau ini.
"Dengan permintaan untuk produk kami yang terus meningkat, kami bersedia untuk memenuhi permintaan dengan cekap selain memastikan pelanggan menerima produk berkualiti tinggi tepat pada masanya," kata Mazuin yang juga berkhidmat sebagai pengerusi BPC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial