BELANJAWAN 2025 > BERITA

Paus Francis Dalam Keadaan Stabil, Ucap Terima Kasih Atas Doa

07/03/2025 11:09 AM

ISTANBUL, 7 Mac (Bernama-Anadolu-dpa) -- Paus Francis berada dalam keadaan stabil dan tiada tanda-tanda kegagalan pernafasan dilaporkan, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Pejabat Akhbar Holy See pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, keadaan klinikal beliau kekal stabil berbanding hari-hari sebelumnya.

Ketua Gereja Katolik itu turut meluangkan masa melakukan beberapa tugasan pada sebelah pagi dan petang, diselang-seli dengan waktu rehat dan doa.

Vatican memaklumkan bahawa berdasarkan keadaannya ketika ini, buletin perubatan seterusnya hanya akan dikeluarkan pada Sabtu.

Paus Francis, 88, menerima rawatan untuk radang paru-paru di Hospital Gemelli, Rom sejak 14 Februari lalu.

Sementara itu, Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan buat kali pertama sejak dimasukkan ke hospital, beliau menyampaikan mesej audio kepada penganut Katolik sambil mengucapkan terima kasih atas doa mereka.

"Saya berterima kasih atas doa anda semua di Dataran St Peter. Saya tetap bersama anda dari sini," katanya dalam mesej berbahasa Sepanyol yang disiarkan di hadapan ribuan hadirin di Vatican pada Khamis.

Dalam mesej itu, suaranya kedengaran lemah.

Ucapannya disambut dengan tepukan hadirin yang sejak dua minggu lalu berkumpul setiap malam mendoakan kesihatannya.

Sejak dimasukkan ke hospital, Paus Francis beberapa kali berkomunikasi melalui teks bertulis bagi menyampaikan penghargaan atas keprihatinan ramai, namun ini adalah kali pertama suaranya didengar secara langsung.

-- BERNAMA-AGENSI

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan