BERITA TERGEMPAR   Coordination of aid for Pantai Dalam fire victims, meeting sessions with victims and shop operators to be arranged – Fahmi | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hari ASEAN Ke-58: Diplomasi Proaktif Malaysia Diterima Dalam Sambutan Serantau

08/08/2025 09:32 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

CYBERJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Malaysia hari ini bersama-sama negara anggota ASEAN lain meraikan Hari ASEAN ke-58, dengan penekanan terhadap tema tahun ini "Ke Arah Masa Depan ASEAN yang Inklusif dan Lestari".

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir memeriahkan sambutan peringkat kebangsaan dan menyampaikan ucaptama, sekali gus mengukuhkan komitmen berterusan Malaysia terhadap aspirasi bersama ASEAN, terutamanya ketika negara memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025.

Sambutan itu menyerlahkan kepimpinan dan pencapaian Malaysia sepanjang tempoh kepengerusian, termasuk usaha untuk memperkukuh integrasi serantau menerusi tiga tonggak utama ASEAN, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Satu daripada detik paling menonjol dalam tempoh kepengerusian Malaysia ialah usaha diplomatik proaktif Perdana Menteri, terutama dalam menjadi perantara kepada konflik sempadan antara Thailand dengan Kemboja. Usaha itu diiktiraf secara meluas sebagai bukti kepada kepimpinan mantap Malaysia dan komitmen mendalam terhadap keamanan serta kestabilan serantau.

Hari ASEAN juga berfungsi sebagai platform untuk menegaskan semula dedikasi blok ini terhadap Wawasan Komuniti ASEAN 2045, sebuah pelan hala tuju komprehensif yang membayangkan ASEAN yang berdaya tahan, dinamik, berorientasikan rakyat dan inklusif dalam menghadapi cabaran masa depan.

Ketika Malaysia terus mengemudi ASEAN sepanjang baki tempoh kepengerusian 2025, beberapa siri dialog peringkat tinggi, mesyuarat menteri dan pertukaran budaya dijangka memperkukuh lagi matlamat Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Hari ASEAN disambut setiap tahun pada 8 Ogos bagi memperingati penubuhan ASEAN pada 1967 apabila Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani Deklarasi ASEAN (Deklarasi Bangkok).

Lebih daripada sekadar satu tarikh dalam kalendar, Hari ASEAN melambangkan komitmen berterusan negara-negara Asia Tenggara terhadap keamanan, kemajuan dan perpaduan. Ia turut mencerminkan aspirasi kolektif rantau ini dalam pembangunan ekonomi dan sosial, kerjasama yang lebih mendalam serta identiti bersama berteraskan saling menghormati dan perpaduan.

Sambutan tahun ini mencatatkan satu detik bersejarah apabila Sekretariat ASEAN mengetuai sambutan dwibandar buat kali pertama, yang diadakan serentak di Jakarta, Indonesia dan Osaka, Jepun, sekali gus memperkukuh kehadiran ASEAN di persada global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan