LELAKI SINGAPURA MAUT LANGGAR KERETA BUAT PUSINGAN U DI LINKEDUA

08/06/2024 07:04 PM

ISKANDAR PUTERI, 8 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga Singapura maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U, di Kilometer (KM) 1.4 lebuh raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) arah utara, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menimpa lelaki berusia 31 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha MT07 dengan kereta  Proton Saga itu, kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

“Hasil siasatan mendapati pusingan U dibuat pemandu kereta itu dibenarkan, kerana dia merupakan penyelia projek bagi kerja membaik pulih jalan di KM1.6 arah selatan, dan motif pusingan U itu untuk ke kawasan baik pulih jalan yang lain di KM20 (arah utara).

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Kumarasan berkata pemandu kereta berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan