DUA PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA TERIMA RASUAH RM2.6 JUTA

10/06/2024 04:52 PM

BUTTERWORTH, 10 Jun (Bernama) -- Dua pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan masalah duti eksais bernilai RM108 juta dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), lima tahun lepas.

Tertuduh, Chan Eng Leong, pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturers (Int) Sdn Bhd dan Tan Kok Siang, pengarah syarikat GTM Land & Property Sdn Bhd., bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan terhadap mereka yang dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut peruduhan pertama, kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 50 tahun didakwa secara bersama meminta wang berjumlah RM4 juta daripada Goh Choon Kim sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan JKDM bernilai RM108 juta yang dihadapi syarikat Global Tobacco Manufacturers (Int) Sdn Bhd. 

Bagi sembilan pertuduhan lagi, mereka juga didakwa menerima wang berjumlah RM2,675,150 melalui sembilan keping cek yang didepositkan dalam akaun Maybank syarikat Hotspot Capital (M) Sdn Bhd milik Eng Leong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Machang Bubok 2, Bukit Mertajam serta sebuah bank di Queensbay Mall di Bayan Lepas dekat sini pada 12 Sept 2019.

Pendakwaan dilakuan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka  boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wirna Ariffin, Muhammad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi manakala Eng Leong diwakili peguam RSN Rayer dan Kok Siang pula diwakili S. Meharaj.

 Hakim Zulhazmi Abdullah menetapkan jaminan ke atas kedua-dua tertuduh sebanyak RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan kes. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan