JURUTEKNIK DIPENJARA 28 BULAN, DENDA RM4,000, MENGAKU SALAH TIGA PERTUDUHAN

13/06/2024 04:05 PM

ALOR SETAR, 13 Jun (Bernama) -- Seorang juruteknik dihukum penjara 28 bulan serta denda RM4,000 oleh Mahkamah Majisret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri motosikal, mendatangkan kecederaan dan menghalang tugas penjawat awam, minggu lepas.

Tertuduh, Mohd Fikhri Amar@Omar, 32, membuat pengakuan itu selepas kesemua tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, juruteknik pendingin hawa itu didakwa mencuri motosikal Honda Wave di hadapan sebuah rumah Kampung Telaga Batu, Mukim Limbong, di sini pada pukul 2.20 pagi, 6 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didenda RM3,000 dan RM1,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan menyebabkan kecederaan seorang anggota polis dengan cara melanggar mangsa dengan motosikal di Jalan Minitar Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, pukul 3 pagi, hari sama.

Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd Noor.

Terdahulu, Mohd Fikhri turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki dengan menggunakan topi keledar di hadapan sebuah rumah di Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah, di sini, pukul 9.30 malam, 5 Jun lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, namun Hakim Jean Sharmila Jesudason menangguhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan tertuduh yang ditetapkan 14 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia Inspektor Ruslan Usman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan