POLIS SIASAT KEJADIAN TULAR INDIVIDU PEGANG OBJEK DISYAKI PISTOL

13/06/2024 11:39 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Jun (Bernama) -- Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes individu memegang objek menyerupai pistol dan memandu secara berbahaya dipercayai berhampiran Pantai Batu Buruk di sini kira-kira 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada orang awam berhubung kes berkenaan yang tular di media sosial.

“Bagaimanapun saya menafikan ia kes penculikan,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini. 

Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat di Facebook menunjukkan individu terbabit memegang satu objek berwarna hitam disyaki pistol dan memandu kereta secara berbahaya dengan menyeberang pembahagi jalan untuk memasuki laluan bertentangan.

Video tersebut dimuat naik dengan kapsyen mendakwa seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah diacu pistol di perut oleh pemandu berkenaan yang dikatakan cuba melarikan seorang kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Azli berkata seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  meninggal dunia selepas kira-kira 18 jam bertarung nyawa setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans di persimpangan hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, 4.30 petang semalam.

Beliau berkata Umie Elysha Lyana Basharuddin, 22, meninggal dunia pada 10.38 pagi tadi ketika dirawat di wad kecemasan HSNZ akibat kecederaan parah di kepala.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan