'MIZA OZAWA' MENGAKU SALAH CARI PELANGGAN BAGI MAKSUD PERSUNDALAN

19/06/2024 07:07 PM

BANGI, 19 Jun (Bernama) -- Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan mencari pelanggan bagi maksud persundalan menerusi aplikasi Telegram atas nama 'Miza Ozawa'.

Siti Amiza Baharuddin, 27, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Bukit Mahkota Kajang pada 4 petang, 6 Jun lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi menetapkan 24 Jun ini bagi fakta kes dan jatuh hukum.

Siti Amiza turut dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM12,500 oleh mahkamah sama selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan lucah dan ubat tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi kesalahan memiliki bahan lucah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM6,500 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda dan bagi kesalahan memiliki ubat yang tidak berdaftar dengan KKM, wanita itu didenda RM6,000 atau dipenjara enam bulan.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditahan pada 6 Jun lepas.

Siti Amiza turut didakwa memiliki bahan-bahan lucah di dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya pada lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa memiliki dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 pada lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 30(1) Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952, yang berdepan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun dan bagi kesalahan kali kedua, serta seterusnya boleh dedenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dan memohon hukuman berjalan secara berasingan. 

Siti Amiza yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanannya untuk bersalin sudah dirampas pihak berkuasa. 

“Saya menyara hidup sendiri di Selangor dan mohon denda seminimum mungkin," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan