POLIS JADI SASARAN UTAMA KUMPULAN PENGGANAS DAESH - SAIFUDDIN

25/06/2024 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Operasi risikan dan tangkapan pihak berkuasa telah berjaya mematahkan cubaan mengembangkan ideologi Daesh, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, pihak berkuasa mengenal pasti modus operandi kumpulan itu yang menjadikan orang kenamaan dan pasukan polis sebagai sasaran utama yang berpotensi untuk diserang, apabila ideologi dan kepercayaan mereka tidak selari dengan pemerintahan kerajaan.

“Maka urutan keutamaan (mereka) sebagai sasaran adalah pasukan polis dalam mengalahkan sesebuah kerajaan.

“Namun hakikatnya, kita berjaya mengesan dan mematahkan gerakan (ideologi) itu, dan dalam proses perisikan dan siasatan awal kita telah establish (rumuskan) motif yang menyasarkan beberapa orang kenamaan dan pegawai tertinggi polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Kali ke-40 di Maktab PDRM, di sini. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Saifuddin Nasution berkata keyakinan idealisme mereka yang tersebar menyebabkan ia diklasifikasikan sebagai satu bentuk ancaman dan wajar ditentang kerana ia akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Semalam media melaporkan lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lepas.

Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Kesemua suspek yang berusia 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan