TIGA LELAKI DITAHAN LINDUNGI 58 PENDATANG TANPA IZIN

01/07/2024 06:00 PM

KOTA TINGGI, 1 Julai (Bernama) -- Seorang penyelia dan dua penjaga kilang barangan kitar semula ditahan kerana disyaki melindungi 58 pendatang tanpa izin yang bekerja di premis itu menerusi Op Sepadu di Bandar Tenggara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kesemua warga asing terdiri daripada 53 lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan pada 3.30 pagi itu mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk berada di Malaysia.

"Dua penjaga kilang terbabit berusia lingkungan 20-an dan 40-an. Seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis methamphetamine dan polis turut merampas satu plastik lut sinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis sama dianggar seberat 0.46 gram.

"Penyelia kilang berusia 40-an pula ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi pada 10.30 malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hussin, ketiga-tiga lelaki tempatan itu direman hingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 55E, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar turut membuka siasatan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, dan Aktiviti 14(b)(ii) Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Alam Sekeliling) 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan