HINA MAHKAMAH: LOKMAN ADAM MOHON MAAF, DIKENAKAN BON BERKELAKUAN BAIK SELAMA SETAHUN

01/07/2024 06:34 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengenakan bon berkelakuan baik selama setahun ke atas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam bagi kesalahan menghina mahkamah membabitkan isu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan, yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abu Bakar Jais, dalam keputusan sebulat suara turut membenarkan rayuan Lokman Noor untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan selepas beliau memohon maaf secara terbuka.

"Setelah mempertimbang kekesalan yang dizahirkan oleh perayu serta aku janji yang diberikan untuk tidak mengulangi perlakuan sedemikian dalam permohonan maaf beliau, kami berpendapat bahawa hukuman penjara mungkin bukan yang paling wajar dijatuhi," kata Nallini.

Beliau berkata berdasarkan rekod rayuan dan penghakiman mahkamah terbabit, adalah terbukti bahawa kegagalan perayu untuk segera mengemukakan permohonan maaf serta menzahirkan kekesalan banyak menyumbang kepada hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

"Kami juga mengambil kira fakta bahawa permohonan maaf itu sendiri tidak membebaskan individu yang menghina mahkamah dalam setiap kes namun ia tetap memberi kesan kepada hukuman yang bakal dijatuhi. 

"Justeru itu, kami memerintahkan agar hukuman penjara sebulan diketepikan dan diganti dengan bon berkelakuan baik selama setahun yang bermaksud jika perayu mengulangi perbuatan menghina mahkamah atau melanggar syarat permohonan maafnya maka beliau akan dipanggil semula ke mahkamah ini dan dihukum kerana melanggar bon tersebut," katanya.

Ketika membacakan penghakiman panel itu, Nallini berkata di bawah undang-undang membabitkan perbuatan menghina mahkamah, ugutan terhadap seseorang saksi sebelum atau selepas beliau memberi keterangan boleh menjejaskan pentadbiran keadilan. 

"Ini kerana keadilan tidak boleh dilaksana jika saksi enggan tampil untuk memberi keterangan. Jika mereka takut untuk berbuat demikian maka roda keadilan mahkamah dan sistem keadilan akan terjejas. Memandangkan rayuan terhadap sabitan tidak diteruskan maka sabitan adalah kekal iaitu perlakuan yang dipertikai terjumlah kepada penghinaan jenayah," katanya.

Panel itu juga berkata mahkamah terbabit telah mengenakan hukuman penjara sebulan kerana perayu tidak menunjukkan sebarang kekesalan berhubung perlakuannya dan tidak memohon maaf.  

"Bagaimanapun, hari ini perayu telah mengemukakan permohonan maaf sepenuhnya dan tidak berbelah bahagi yang membuktikan kekesalahn dan keinsafan beliau. Beliau juga telah berjanji untuk tidak mengulangi perlakuan sedemikian," katanya.

Terdahulu, Lokman Noor, 51, memohon maaf atas tindakannya membuat laporan polis yang mengandungi komen beliau berkaitan kredibiliti saksi utama dalam kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1MDB iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan mengeluarkan kenyataan media ketika perbicaraan berlangsung. 

Lokman Noor berkata beliau telah menyedari bahawa tindakan dan komennya adalah tindakan yang bukan sahaja terjumlah kepada satu serangan terhadap integriti Jabatan Peguam Negara tetapi satu tindakan mengugut saksi dan sekali gus mengganggu proses pentadbiran keadilan.

"Saya benar-benar menyesal dan telah insaf. Saya tiada niat untuk menghina mahkamah. Oleh yang demikian, saya memohon maaf secara suci hati tanpa sebarang syarat kepada pihak Yang Amat Arif, Yang Arif-Yang Arif, Jabatan Peguam Negara, pihak pendakwaan yang mengendalikan kes, mahkamah dan semua pihak terlibat dan saya berjanji bahawa perkara ini tidak akan berulang.

"Saya dengan sesungguhnya berjanji apabila saya masuk ke mahkamah pada bila-bila masa, saya akan menurut peraturan yang ditetapkan. Saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan yang salah di sisi undang-undang dan tidak akan keluarkan sebarang kenyataan yang salah sepanjang kes perbicaraan berjalan. Saya dengan rendah diri memohon supaya mahkamah ini menerima permohonan maaf saya," katanya ketika membacakan permohonan maaf beliau di hadapan panel itu.

Lokman Noor diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Alaistair Brandah Norman manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhi hukuman penjara sebulan ke atas Lokman Noor selepas beliau didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengugut Amhari Efendi yang juga bekas pegawai khas Najib.

Pada 26 Okt 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor selepas menolak rayuan beliau bagi mengetepikan sabitan serta hukuman itu dan rayuan balas pendakwaan untuk memanjangkan tempoh hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan