REMAJA BAWAH UMUR TIDAK BOLEH DIPAKSA JALANI UJIAN PATERNITI DNA - MAHKAMAH

03/07/2024 09:55 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan bahawa remaja bawah umur tidak boleh dipaksa untuk menjalani ujian paterniti asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan siapa bapanya.

Panel lima hakim terdiri daripada Datuk Zabariah Yusof, Datuk Sri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan sepasang suami isteri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perkara itu.

Dalam penghakiman mahkamah, Zabariah berkata perintah agar seorang remaja perempuan bawah umur menjalani ujian paterniti bagi mengesahkan hubungan DNA antara bapa dan anak adalah bertentangan dengan kepentingan serta kebajikannya.

"Tindakan mengambil C (remaja terbabit) untuk melakukan ujian DNA itu sendiri adalah sesuatu yang merosakkan, mengganggu status quo serta mempertikai satu-satunya realiti yang diketahui beliau sejak 15 tahun enam bulan lepas iaitu D1 dan D2 (pasangan suami isteri) adalah ibu bapanya.

“Beliau mungkin terdedah kepada kebencian dan penghinaan jika diketahui telah dilahirkan hasil kecurangan ibunya sekali gus adalah anak tidak sah taraf,” katanya.

Zabariah berkata tiada peruntukan undang-undang bertulis khusus atau biasa yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan mana-mana individu sama ada dewasa atau kanak-kanak untuk menjalani ujian DNA dalam prosiding sivil.

“Apabila berurusan dengan struktur keluarga yang rapuh, badan kehakiman tidak seharusnya menjadi pelopor yang menetapkan trend sosial dan mengabaikan perangkap serta implikasi undang-undang susulan keputusannya yang dibuat tanpa peruntukan perundangan yang jelas.

"Justeru itu, mahkamah perlu berhati-hati apabila berurusan dengan perkara sebegini,” katanya.

Seorang lelaki telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap pasangan suami isteri itu dan memohon perintah mahkamah untuk memaksa remaja terbabit menjalani ujian DNA bagi menentukan siapa bapanya.

Plaintif mendakwa beliau dan si isteri dalam keluarga itu menjalin hubungan sulit dan hubungan mereka hanya berakhir pada 2014.

Lelaki itu memohon deklarasi bahawa beliau adalah bapa kandung remaja terbabit serta perintah berkaitan tanggungan dan akses kepada remaja berusia 16 tahun tersebut.

Pada 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada plaintif dan memerintahkan ujian DNA dilakukan ke atas remaja terbabit untuk menentukan paterniti.

Mahkamah Tinggi berkenaan memutuskan bahawa ia mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah sedemikian demi kebaikan remaja terbabit. 

Mahkamah Rayuan pada Mac 2023 mengekalkan keputusan itu dan ini menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Pada prosiding hari ini, peguam Foo Yet Ngo dan Kiran Dhaliwal mewakili pasangan suami isteri berkenaan manakala Teh Kit Hoo hadir bagi pihak lelaki tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan