KEPUTUSAN PERMOHONAN SEMAKAN MUHYIDDIN KEMBALIKAN TUDUHAN SALAH GUNA KUASA PADA 20 OGOS

09/07/2024 03:45 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 20 Ogos untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan peguam utama Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang bertindak bagi pihak pendakwa raya sebagai responden.

"Kami memerlukan lebih banyak masa kerana kes ini melibatkan isu yang serius. Oleh itu, kami menangguhkan keputusan kepada 20 Ogos," kata Hakim Azizah.

Hakim lain ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah, dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Pada 27 Mac lepas, Muhyiddin, 77, memfailkan permohonan supaya mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan empat tuduhan terhadapnya yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam notis usulnya, Muhyiddin berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu, didakwa menggunakan jawatannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff untuk parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga menghadapi dua tuduhan menerima wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Terdahulu, Hisyam berhujah bahawa kes ini adalah kes yang wajar dan sesuai untuk semakan kerana tiada undang-undang atau cara lain yang boleh digunakan oleh pemohon (Muhyiddin) melainkan memohon bantuan mahkamah untuk membetulkan ketidakadilan yang timbul daripada keputusan yang dipertikaikan.

"Secara ringkasnya, kegagalan keadilan yang timbul daripada keputusan yang dipertikaikan adalah begitu berat dan jelas sehingga memerlukan campur tangan semakan oleh mahkamah ini," katanya.

Hisyam juga berhujah bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula rayuan yang telah diputuskan untuk mengelakkan ketidakadilan yang nyata dalam keadaan luar biasa.

"Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk membetulkan keputusan yang salah untuk memastikan keadilan antara pihak-pihak yang terlibat dan memastikan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan," tambahnya.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berhujah bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan melupuskan rayuan termasuk rayuan responden (pendakwa raya) di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 berhubung pembebasan pemohon.

"Permohonan semakan ini merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh itu, saya mohon mahkamah menolak permohonan semakan pemohon dan mengembalikan kes ini ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan