EMPAT ANGGOTA SINDIKET JUDI DISERAHKAN KEPADA POLIS SINGAPURA

09/07/2024 06:57 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Empat warga Singapura yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terlibat sindiket pertaruhan judi haram pada 1 Julai lepas, hari ini diserahkan kepada Singapore Police Force (SPF). 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata keempat-empat lelaki berusia lingkungan 41 hingga 60 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah di republik berkenaan. 

Beliau berkata dalam operasi sama turut ditahan dua wanita tempatan berusia 29 dan 34 tahun yang berperanan menguruskan transaksi judi, hasil perkongsian maklumat daripada pihak berkuasa Singapura.

"Keenam-enam individu ini telah dituduh semalam di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953. Mereka dijatuhi hukuman denda dan telah membayar denda masing-masing. 

"Serahan empat warga Singapura kepada SPF adalah untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya pada sidang media bersama PDRM dan SPF di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini hari ini, yang turut dihadiri Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis (Siasat dan Risikan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah SPF DCP Zhang Weihan.

Mohd Shuhaily berkata berdasarkan siasatan, enam individu itu terlibat dalam pertaruhan 4D dan lumba kuda haram dalam talian yang beroperasi di Singapura termasuk pemain, manakala Malaysia bertindak sebagai pusat pengiraan dan merekodkan taruhan.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah menggunakan talian telefon berdaftar di Singapura dan beberapa laman sesawang bagi mengelak dipantau PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Sementara itu, Zhang berkata SPF bekerjasama rapat dengan PDRM dalam menangani kumpulan jenayah terancang merentasi sempadan pada peringkat strategik dan operasi.

"Kami juga bekerjasama erat untuk membanteras kumpulan penjenayah, terutamanya dalam kes ini, yang kami bersama-sama menjalankan penguatkuasaan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM atas sokongan mereka," katanya.

Dalam operasi bersama pada 30 Jun hingga 1 Julai lepas, pihak berkuasa dari kedua-dua negara berjaya menumpaskan operasi kumpulan penjenayah terancang dengan menahan 43 orang berusia 34 hingga 82 tahun yang disyaki terbabit dalam pertaruhan judi haram.

SPF turut mengeluarkan perintah larangan pelupusan tujuh hartanah yang bernilai lebih SGD10.7 juta (RM37.02 juta) serta merampas wang tunai, barang kemas, jam tangan mewah dan lebih 40 akaun bank bernilai hampir SGD4 juta (RM13.84 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan