JURUHIAS DITAHAN DISYAKI EDAR DADAH

13/07/2024 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang juruhias kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengedar dadah di Cheras, pada 12 tengah hari Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh Sarban Singh berkata hasil penahanan lelaki berusia 40 tahun itu, polis merampas dadah jenis kanabis dan Erimin 5 dianggarkan bernilai RM64,647, wang tunai RM3,000 dan sebuah kereta.

“Hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah kondominium mewah di Kajang dan merampas dadah jenis kanabis kira-kira empat kilogram dianggarkan bernilai RM13,299 serta dua kereta.

“Suspek yang menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai sumber pendapatan utama, didapati aktif melakukan perbuatan itu sejak awal tahun ini dengan menjadikan kondominium mewah berkenaan sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan aktivitinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bekalan dadah itu dipercayai diperoleh daripada pengedar tempatan di ibu negara untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Ravindar Singh berkata hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif terhadap dadah dan dia kini direman hingga 17 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan