KES DANA AWAM LIBATKAN PASANGAN PEMPENGARUH: SPRM BEKU 20 AKAUN BERNILAI RM740,000

15/07/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  membekukan kira-kira 20 akaun bank membabitkan nilai lebih RM740,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu.

Menurut sumber, akaun tersebut adalah milik individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.

"Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

"Kemungkinan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.

Katanya, sitaan dan pembekuan akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Semalam, media melaporkan SPRM mendapat kebenaran sambung reman tiga hari terhadap pasangan suami isteri pempengaruh serta dua individu yang ditahan pada 10 Julai lepas kerana dipercayai menyeleweng kutipan derma dianggarkan mencecah kira-kira RM3 juta yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan