SUAMI ISTERI DIREMAN DISYAKI TERLIBAT SALAH GUNA KUASA DAPATKAN PROJEK RM200,000

16/07/2024 03:01 PM

KUALA TERENGGANU, 16 Julai (Bernama) -- Sepasang suami isteri direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa untuk mendapatkan projek pembekalan bernilai lebih RM200,000. 

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Ahad depan terhadap suami isteri berumur 30-an itu, dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan kakitangan di sebuah agensi perbadanan awam di negeri ini dipercayai telah menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga milik syarikat isterinya bagi membolehkan syarikat itu mendapat kerja-kerja pembekalan di tempat kerjanya yang bernilai kira-kira RM200,000.

Susulan itu, lelaki berkenaan telah ditahan di pejabatnya kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, manakala isterinya ditahan satu jam kemudian di kediaman mereka.

Siasatan awal mendapati pasangan itu melakukan perbuatan terbabit sekitar 2022 hingga 2023 melibatkan beberapa kerja pembekalan yang berbeza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan