KELUARGA NUR FARAH KARTINI MOHON URUSAN TUNTUT JENAZAH DIPERMUDAH

18/07/2024 11:44 AM

SUNGAI BULOH, 18 Julai (Bernama) -- Keluarga mangsa bunuh Nur Farah Kartini Abdullah berharap urusan tuntutan jenazah Allahyarham dipermudah dan disegerakan.

Abang mangsa Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata setakat ini ahli keluarga belum menerima sebarang perkembangan mengenai urusan berkenaan daripada pihak polis mahupun hospital.

"Belum ada sebarang perkembangan, doakan urusan kami dipermudah dan disegerakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati pengamal media mula berkumpul sejak 8 pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan tuntutan jenazah graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Bagaimanapun tiada waris mangsa kelihatan di sekitar kawasan berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Selangor memaklumkan jenazah Nur Farah Kartini, 25, hanya boleh dituntut selepas keputusan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh daripada Jabatan Kimia berikutan pengecaman mayat yang tidak dapat dilakukan secara visual.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada Isnin lepas. 

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak dan direman tujuh hari hingga 22 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan