SAMAN AHMAD ZAHID TERHADAP MALAYSIAKINI SELESAI SECARA DAMAI

18/07/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kes saman difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap portal berita Malaysiakini diselesaikan secara damai di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihak-pihak terlibat bersetuju untuk menyelesaikan kes saman berkenaan.

"Oleh itu, plaintif (Ahmad Zahid) tidak meneruskan saman terhadap defendan (Malaysiakini) dan mahkamah menghentikan kes saman berkenaan tanpa kos. 

"Perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 19 sehingga 22 Ogos ini turut dilapangkan oleh mahkamah," kata peguam itu ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes saman tersebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi hari ini.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Mohd Shahril Madisa, mewakili Ahmad Zahid manakala Kee Hui Yee, mewakili Mkini Dotcom Sdn Bhd, bekas Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan dan seorang bekas wartawan portal berkenaan selaku defendan.

Menerusi hantaran di akaun Facebooknya, Ahmad Zahid menyatakan beliau memfailkan saman fitnah terhadap Malaysiakini pada 24 Mac 2021 berhubung penerbitan 22 laporan berbaur fitnah dan selektif berkaitan prosiding jenayah terhadapnya di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Menurut Ahmad Zahid, oleh kerana prosiding jenayah itu dilupuskan Mahkamah Tinggi pada 4 Sept 2023, beliau dinasihatkan pihak peguamnya untuk tidak lagi meneruskan prosiding saman fitnah terhadap Malaysiakini bagi menghormati keputusan mahkamah tersebut dan tidak memprejudis pihak-pihak terlibat. 

"Walaupun tindakan dilakukan defendan-defendan mencemar nama baik dan memberi sentimen negatif terhadap diri saya, namun setelah mempertimbangkan nasihat peguam dan melihat kepada perkembangan semasa, saya mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu ini dan berharap defendan lebih bertanggungjawab dan telus ke atas semua laporan diterbitkan terhadap saya selepas ini. 

"Saya juga berharap laporan-laporan berbaur fitnah dan selektif seperti dikeluarkan sebelum ini tidak berulang lagi di masa akan datang. Saya juga ingin menyeru kepada pemain-pemain media dan semua pemegang taruhnya untuk terus bersandarkan kepada prinsip dan etika kewartawanan tinggi dan berhemah atas setiap penerbitan dikeluarkan," katanya menerusi hantaran itu.

Pada 4 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan