POLIS BURU SUAMI MANGSA KES BUNUH WANITA WARGA ASING

19/07/2024 02:32 PM

BALIK PULAU, 19 Julai (Bernama) -- Polis masih memburu seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai suami kepada wanita warga asing yang menjadi mangsa bunuh dalam kejadian di Flat Taman Indah, Batu Maung, di sini pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya juga telah menggerakkan pasukan polis bagi mengesan suspek berusia 34 tahun itu yang sebelum ini dipercayai bekerja di sini bersama mangsa.

"Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian bunuh membabitkan pasangan suami isteri warga asing berkenaan, setakat ini kita masih menyiasat motif wanita itu dibunuh.

"Tiada tangkapan setakat ini dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.  

Dalam kejadian itu, seorang wanita warga asing ditemukan maut dengan beberapa kesan tikaman di bahagian leher, dada dan kakinya dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam.

Kamarul Rizal dilaporkan berkata pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui wanita berusia 30-an itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah kira-kira 9.50 malam di kaki lima tingkat tiga di flat berkenaan sebelum disahkan mati oleh pasukan perubatan.

Berikutan kejadian itu, beliau dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Khin Mh Myo, 34, dipercayai suami kepada mangsa bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes itu ASP A. Ganthan di talian 014-9237366 atau 04-8662222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan