WANITA DIDAKWA SOKONG, MILIKI BAHAN BERKAITAN KUMPULAN DAESH

19/07/2024 03:41 PM

PETALING JAYA, 19 Julai (Bernama) -- Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan-bahan (item) berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan memberi sokongan kepada kumpulan tersebut, bulan lepas.

Fauziahanim Abdullah, 57, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan Daesh dalam telefon bimbit miliknya dan sebuah pemacu kilat USB di sebuah unit kondominium di Persiaran Kinrara Seksyen 3, Puchong di sini pada 9.02 pagi, 23 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Instagram atas nama Aurora Millisaa @Hanee_bear_ di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada 9.15 pagi, 28 Jun lepas. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan