SUKAN > BERITA

SUKMA: ATLET LABUAN SASAR SUMBANG LAPAN EMAS UNTUK WIPERS

19/07/2024 07:13 PM

LABUAN, 19 Julai (Bernama) -- Atlet Labuan menyasarkan lapan emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang akan berlangsung bulan depan bagi membantu kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers).

Timbalan ketua kontinjen Fadzilah Mahmud berkata seramai 45 atlet Labuan terdiri daripada 20 lelaki dan 25 wanita akan bertanding dalam pelbagai acara pada temasya itu termasuk ragbi wanita, petanque, boling padang, karate, silat, e-sukan, ping pong dan bola tampar.

Beliau turut meluahkan keyakinan terhadap kemampuan atlet dari pulau itu untuk menyumbang secara signifikan kepada keseluruhan pungutan pingat kontinjen berkenaan.

"Kami menyasarkan tiga emas dalam petanque, dua dalam boling padang dan masing-masing satu dalam wusyu, ping pong dan bola tampar pantai.

"Kami turut berharap pasukan bola tampar pantai lelaki (diwakili atlet Labuan) akan membawa pulang bukan sahaja satu emas, malah pingat perak untuk kontinjen," katanya kepada Bernama hari ini.

Fadzilah berkata WiPers menetapkan matlamat untuk meraih 70 pingat emas bagi merangkul gelaran juara keseluruhan.

"Kesemua atlet telah dimuktamadkan dan mereka komited untuk memenangi lebih banyak emas…kami mahu semua atlet mengekalkan kecergasan menjelang SUKMA dan mempamerkan semangat kesukanan," katanya. 

Menurutnya tekad dan kesiapsiagaan atlet Labuan dilihat sebagai komponen penting dalam mencapai sasaran Wilayah Persekutuan pada acara sukan kebangsaan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan