POLIS TAHAN EMPAT REMAJA LELAKI ROGOL KANAK-KANAK 11 TAHUN

19/07/2024 09:45 PM

IPOH, 19 Julai (Bernama) -- Polis menahan empat remaja lelaki di beberapa lokasi berbeza sekitar Teluk Intan, semalam selepas disyaki merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun secara bergilir-gilir.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata empat suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan antara 3 petang hingga 10 malam selepas mangsa membuat laporan polis pada 12.26 tengah hari, semalam.

“Menurut mangsa, suspek pertama dan kedua merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam kereta ketika mangsa keluar mandi-manda bersama kedua-dua suspek di kawasan air terjun Lata Kinjang, Tapah kira-kira 6.30 petang pada Rabu lepas.

“Pada 8.30 malam hari yang sama, suspek ketiga merogol mangsa ketika mangsa mengikuti suspek pulang ke rumahnya, manakala suspek keempat merogol mangsa pada 12.30 tengah malam Khamis (18 Julai) di kawasan semak. Kedua-dua kejadian berlaku sekitar Teluk Intan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata hasil siasatan mendapati mangsa mengenali suspek pertama melalui media sosial dan turut diperkenalkan kepada tiga lagi individu yang melakukan perbuatan keji itu.

Ahmad Adnan berkata kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan suspek pertama serta ketiga masing-masing berusia 16 dan 17 tahun tidak bersekolah, manakala suspek kedua serta keempat berusia 14 dan 17 tahun masih bersekolah. 

Kesemua suspek berasal dari Teluk Intan dan saling mengenali antara satu sama lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Majistret Teluk Intan turut membenarkan empat remaja lelaki itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Julai untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan