PEMBUNUHAN NUR FARAH KARTINI: POLIS SELESAI AMBIL KETERANGAN PEKERJA SEBUAH KEBUN UBI

21/07/2024 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Polis telah selesai mengambil keterangan beberapa pekerja sebuah kebun ubi di Slim River, Perak semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, yang mayatnya ditemukan di Hulu Selangor Isnin lepas.

Menurut sumber, soal siasat polis mendapati suspek telah pergi ke kebun tersebut serta beberapa lokasi lain sebelum kejadian, dan petang semalam polis telah ke kebun ubi di Kampung Klan Halt itu bagi tujuan siasatan.

"Polis pergi ke kebun berkenaan bersama suspek semalam dan mengambil keterangan beberapa pekerja kebun warga tempatan dan asing bagi membantu siasatan," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai lepas.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes terbabit, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan