BEKAS BANDUAN DIDAKWA MILIKI BAHAN BERKAITAN KUMPULAN DAESH

21/07/2024 02:28 PM

KOTA BHARU, 21 Julai (Bernama) -- Seorang bekas banduan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Nik Mohd Shalahuddin didakwa memiliki 1,020 keping gambar, 26 video, 321 artikel dalam bentuk PDF di dalam telefon bimbit serta 378 keping gambar, 36 video, 244 artikel dalam bentuk PDF di dalam sebuah lagi telefon bimbit, yang merupakan barang yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Kota Jembal di sini pada 9.15 pagi, 10 Jun lepas dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didapati memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam Il.

Perbuatan itu dikesan pada 10.15 malam di lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 10 Jun lepas dan boleh didakwa mengikut perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pula, Nik Mohd Shalahuddin telah mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara baiah dengan Abu Hafs Al Hashimi Al-Qurashi iaitu pemimpin IS sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS di Kota Jembal, di sini, pada 10 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 40 tahun atau dengan denda jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selaras dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mahkamah menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan pakar dan keputusan permohonan pemindahan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Nik Mohd Shalahuddin pernah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bermula 2018 di bawah Seksyen 130JB(1) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan