BICARA TANGGUH, MB KEDAH HANTAR REPRESENTASI KEDUA KEPADA AGC

22/07/2024 12:11 PM

SHAH ALAM, 22 Julai (Bernama) -- Perbicaraan kes Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan.

Hal ini berikutan Menteri Besar Kedah itu mengemukakan representasi kedua bagi menggugurkan pertuduhan dihadapinya.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membenarkan penangguhan selepas peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lepas.

"Saya percaya bahawa Peguam Negara perlu masa untuk mempertimbangkan representasi tersebut. Oleh demikian, saya memohon penangguhan selama dua bulan untuk pihak-pihak berkenaan mendapat maklumat penuh dan mempertimbangkan representasi itu.

"Jika mahkamah bersetuju dengan cadangan pembelaan, kami mohon untuk mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes," kata peguam itu.

Ini merupakan representasi kedua selepas representasi pertama dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Kedah itu ditolak oleh AGC pada Mei lepas.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Daud berkata pihaknya telah menerima representasi itu dan memerlukan masa untuk menelitinya serta tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan pada hari ini.

"Mohon tarikh perbicaraan ditetapkan hujung September dan mohon tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan," katanya.

Hakim Aslam kemudian menetapkan 27 Sept ini untuk pengurusan kes dan turut melapangkan tarikh perbicaraan esok, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.

Awang Armadajaya yang ditemui pemberita selepas prosiding berkata representasi terbaharu itu adalah untuk mengkaji pertuduhan termasuk menggugurkan pertuduhan terbabit.

Masri pula memberitahu pihaknya menerima representasi itu pada 19 Julai lepas.

Pada prosiding hari ini, Masri dibantu Timbalan Pendakwa Raya Abd Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar manakala Muhammad Sanusi turut diwakili peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Tajuddin Abd Razak, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Radzlan Jalaludin, Ahmad Lutfi Awang dan Mohd Faizi Che Abu.

Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Feb lepas untuk dibicarakan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan