SUKAN > BERITA

MAMPUKAH MUHAMMAD AZEEM CATAT BAWAH 10 SAAT DI PARIS 2024?

22/07/2024 12:30 PM

KUALA LUMPUR 22 Julai (Bernama) -- Mampukah Muhammad Azeem Mohd Fahmi akhirnya mencatatkan larian bawah 10 saat (s) pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan muncul sebagai pelari terpantas Asia Tenggara pada temasya itu?

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu, menerima tiket wild card awal bulan ini untuk beraksi dalam acara riben biru tersebut pada pentas Olimpik yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Bagaimanapun prestasi semasa atlet berusia 20 tahun itu agak hambar apabila sekadar mencatatkan 10.36 saat (s) di Percy Beard Track, Gainesville di USA iaitu catatan terbaiknya setakat ini bagi musim yang sedang berjalan. 

Hal itu jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan 10.09 s miliknya yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun di Cali, Colombia pada 2022 atau 10.11 s ketika beraksi dalam kejohanan Southeastern Conference (SEC) Louisiana, Amerika Syarikat tahun lepas. 

Dalam persaingan antara pelari-pelari pecut dari rantau ini, pelari Thailand Puripol Boonson memegang rekod terpantas dengan catatan terbaik 10.08 s yang dilakukannya di Amerika Syarikat April lepas.

Selain Puripol, turut menonjol ialah bekas juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Mohd Zohri dengan catatan masa terbaik musim ini 10.17s iaitu beliau juga menewaskan Muhammad Azeem pada Sukan Universiti Asean (AUG) baru-baru ini di Surabaya dan Malang, Indonesia.

Bagaimanapun itu semua hanyalah rekod di atas kertas. Kejutan boleh terjadi pada hari pertandingan. 

Berdasarkan catatan sebelum ini, Azeem seolah-olah mempunyai tuah tersendiri ketika beraksi dalam kejohanan besar apabila empat daripada lima catatan masa terbaiknya dilakukan pada Kejohanan Remaja Dunia 2022 dan Sukan Asia Hangzhou 2023.

Menurut Azeem, beliau mengakui beraksi pada kejohanan besar mempunyai aura tersendiri yang sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik.

Beliau berkata mencapai kejayaan pada kejohanan besar merupakan matlamatnya selain untuk menimba pengalaman.

"Jadi saya rasa trek and suasana kejohanan memang memainkan peranan.

“Saya teruja untuk beraksi di Olimpik, harap saya boleh lakukan sesuatu macam yang saya buat sebelum ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam pada itu bekas jurulatihnya Amir Izwan Tan Abdullah percaya Muhammad Azeem berupaya melakukan kejutan ketika membuat penampilan pertamanya di temasya sukan terbesar itu. 

Menurut beliau, berdasarkan graf prestasi, anak buahnya mampu berada dalam prestasi terbaik sekali gus berupaya mencipta catatan masa yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Dalam satu kejohanan besar, sukar untuk kita meramalkan keputusan kerana apa-apa boleh terjadi. Harapan saya agar Azeem dapat gunakan kesempatan beraksi di pentas Olimpik untuk membuktikan beliau adalah yang terbaik dan lakukan catatan masa yang lebih baik,” katanya

 

Profil:

Umur: 20 tahun

Tarikh lahir:29 April 2004

Tempat lahir:Teluk Intan, Perak

 

Pencapaian:

Pemegang rekod kebangsaan acara 60m, 100m

Pingat gangsa 100 m Sukan Asia Hangzhou 2023

Pingat perak 4x100 m Sukan SEA Hanoi 2023

Pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan