EMPAT INDIVIDU DIREMAN BANTU SIASATAN KES CULIK KANAK-KANAK DI ISKANDAR PUTERI

23/07/2024 12:57 PM

JOHOR BAHRU, 23 Julai (Bernama) -- Dua lelaki dan dua wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes culik seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Sabtu lepas.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun selepas membenarkan permohonan dikemukakan polis untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua lelaki itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira 8.45 pagi dengan berpakaian lokap berwarna ungu dan jingga manakala dua wanita berpakaian lokap berwarna jingga dengan tangan bergari pula tiba 10 minit kemudian diiringi polis.

Semalam, Ketua Polis Johor CP M Kumar dilaporkan berkata tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 28 hingga 55 tahun ditahan di sekitar Iskandar Puteri bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu yang disedari hilang oleh bapanya di pusat beli-belah berkenaan kira-kira 8.30 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan