SUKAN > BERITA

ZII JIA LEBIH TENANG HADAPI OLIMPIK

23/07/2024 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia bersedia membawa semua tenaga dan aura positif ke pentas Sukan Olimpik 2024 Paris yang membuka tirainya secara rasmi, Sabtu ini.

Pemain ranking ketujuh dunia itu yang membuat penampilan kedua di Olimpik berkata beliau kini sudah kembali menemui keseronokan bertanding di dalam sukan itu selepas menyatakan hasrat ‘berehat’ seketika November lepas.

“Cinta saya kepada badminton kembali dan ia satu perkara yang baik. Kami tiada banyak masa sebelum Olimpik jadi saya harap dapat membawa kesemua tenaga, aura (baik) ini serta perkara-perkara positif.

"Saya sentiasa mencuba sesuatu yang baharu yang belum dicuba orang. Saya hanya cuba untuk menenangkan diri sendiri dan lebih menikmati permainan terutama di Olimpik," katanya dalam satu temu bual dikongsikan laman Facebook rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Zii Jia akan turun ke gelanggang di Porte de La Chapelle Arena (Adidas Arena), Paris pada 27 Julai bagi aksi peringkat Kumpulan G.

Atlet berusia 26 tahun itu mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan setelah diundi bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka Viren Nettansinghe dan pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol Pablo Abian.

Sekiranya mengungguli peringkat kumpulan, Zii Jia berkemungkinan membuat perhitungan awal dengan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting (kesembilan dunia) dalam pusingan 16 terbaik untuk memburu tempat di suku akhir.

Atlet kelahiran Kedah itu sebelum ini menetapkan sasaran untuk membawa pulang emas dari Paris.

Olimpik Paris menjadi penampilan kedua Zii Jia di temasya terbesar dunia itu selepas Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan