WANITA DIPENJARA TIGA HARI, DENDA RM500 CURI MAKANAN SEJUK BEKU

23/07/2024 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Seorang wanita dipenjara tiga hari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tujuh jenis makanan sejuk beku bernilai hampir RM300 di sebuah pasar raya awal bulan ini.

Majistret Amira Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Chew Fong Cze, 45, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini serta dipenjara sehari lagi, jika gagal membayar denda terbabit. 

Chew yang merupakan seorang pengasuh didakwa mencuri antaranya sembilan keping ikan trout, dua jenis sotong dan satu pek makanan jenis stimbot yang kesemuanya bernilai RM286.91 di sebuah pasar raya di Taman Maluri, Cheras, di sini pada 5.50 petang, 4 Julai.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Ketika ditanya Amira mengapa mencuri makanan itu, Chew berkata dia mahu memberi makan kepada anaknya.

Selepas mendengar alasan yang diberikan, Amira menasihati tertuduh dan berkata: "Kuantiti yang kamu curi itu besar. Kamu seorang yang bekerja dan tidak boleh beri alasan mencuri kerana mahu bagi makan kepada anak, itu semua bukan benda yang baik."

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Tan Wei Meng daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman penjara dan denda paling minimum atas alasan anak guamnya menanggung seorang anak dan ibu bapa. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan