TIGA TERMASUK DUA BERADIK DIDAKWA TIPU PROJEK PEMBINAAN PANGSAPURI LEBIH RM900,000

24/07/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Tiga individu termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat pembinaan untuk mendapatkan projek pembinaan pangsapuri membabitkan wang lebih RM900,000, enam tahun lepas.

Remyrizal @ Wellen Remy Rizal, 43, dan pasangan adik beradik I. Kumara, 53, dan I. Sumathi, 49, yang merupakan pengarah Aston Villa Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Mereka didakwa bersama-sama menipu Pengarah MZMA Construction Sdn Bhd Hin Aik Kwang, 48, dengan memperdayakannya dalam urusan mendapatkan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Sungai Penchala serta mencagarkan satu lot tanah milik Aston Villa sekiranya projek tersebut tidak berjaya, sedangkan kesemua tertuduh tahu lot tanah itu telah dicagarkan kepada sebuah bank pada 2013.

Mereka juga didakwa menyalahgunakan wang RM987,084.17 milik MZMA Construction yang dipindahkan ke dalam empat akaun bank, masing-masing milik Sumathi, Remyrizal dan Aston Villa bagi kepentingan peribadi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Scott, Brickfields di sini sekitar 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amalina Johar tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh, namun peguam Dhiyaulhaq Mohd Arifin yang mewakili Remyrizal memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara.

Peguam M. Manoharan yang mewakili Kumara dan Sumathi turut memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan