SUKAN > BERITA

PARIS 2024: BURUAN EMAS PERTAMA NEGARA BERMULA ESOK

24/07/2024 09:19 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 24 Julai (Bernama) -- Misi Malaysia untuk menamatkan penantian hampir tujuh dekad bagi pingat emas Olimpik pertama akan bermula esok apabila pertandingan memanah dimulakan, sehari sebelum upcara pembukaan temasya Olimpik Paris 2024, Jumaat ini.

Selepas bertahun-tahun perancangan dan persiapan rapi, penganjur bersedia untuk menganjurkan  Paris 2024 dengan penuh tenaga bagi menyambut kira-kira 10,500 atlet dan buat pertama kalinya majlis pembukaan diadakan di luar stadium dengan menyaksikan atlet menyusuri Sungai Seine dengan menaiki bot dan tongkang.

Bagi Malaysia, persoalan besar adalah sama ada kontinjen negara yang terdiri daripada 26 atlet dengan majoriti (61.5 peratus) adalah penyertaan sulung mampu merasai pingat emas.

Malaysia telah memenangi sejumlah lapan pingat perak dan lima pingat gangsa pada temasya Olimpik dengan badminton menyumbang sebahagian besar iaitu enam pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Di atas kertas, acara berbasikal trek dan badminton dilihat sebagai taruhan terbaik untuk pingat emas pertama, yang telah lama diidamkan sejak negara membuat penampilan sulung (sebagai Malaya) 68 tahun lalu pada edisi Melbourne 1956.

Dalam acara badminton di Arena Porte de la Chapelle dari 27 Julai hingga 5 Ogos, beregu lelaki  negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia mempunyai peluang terbaik untuk meraih pingat.

Selain itu pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga boleh menjadi pakej kejutan di podium.

Setelah muncul juara dunia pertama negara pada 2022 dan memperoleh gangsa di Sukan Tokyo, Aaron-Wooi Yik kelihatan mampu menunjukkan persembahan mantap sekali lagi tetapi mesti mengekalkan usaha berani dan prestasi konsisten untuk mencapai status Terbaik Sepanjang Zaman (GOAT) dengan gelaran Olimpik.

Pasangan nombor lima dunia itu perlu terlebih dahulu memastikan kedudukan dua teratas dalam Kumpulan A menentang beregu bombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy (Great Britain) dan Adam Dong-Nyl Yakura (Kanada) untuk mara ke suku akhir dan terus bersaing untuk pingat.

Bagi nombor tujuh dunia, Zii Jia, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang menjelang Olimpik dengan memenangi gelaran Terbuka Thailand dan Terbuka Australia, kini tiba masanya untuk menebus status pemain utama di sebalik beberapa penampilan yang tidak konsisten selama ini.

Namun, keputusan dalam  siri Jelajah Dunia BWF tidak menggambarkan situasi sebenar kerana ramai pemain akan mencapai puncak prestasi mereka pada Olimpik sambil cuba mengelakkan kecederaan menjelang acara sukan terbesar dunia itu.

Zii Jia disingkirkan oleh pemain China, Chen Long, pada pusingan 16 terakhir di Tokyo.

Zii Jia, juara All England 2021, dijangka akan melayakkan diri dengan mudah dari Kumpulan G menentang Pablo Abian dari Sepanyol dan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka, tetapi ujian sebenar menanti pada pusingan 16 terakhir menentang Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia.

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka akan berdepan dengan pemain seperti Anders Antonsen dari Denmark pada suku akhir, Shi Yu Qi dari China yang merupakan pemain nombor satu dunia pada separuh akhir dan mungkin bertemu juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark dalam perlawanan akhir pingat emas.

Pasangan debutan Tang Jie-Ee Wei, yang berada dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat, dan Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dari Singapura akan mengharapkan pengalaman jurulatih Nova Widianto.

Widianto telah memenangi pingat perak Olimpik Beijing 2008 dan dua kejuaraan dunia.

Sementara itu, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah berdepan laluan sukar di pusingan awal apabila menentang pasangan No.1 dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China untuk saingan peringkat kumpulan A selain Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (Jepun) dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia).

Datuk Mohd Azizulhasni Awang, juara dunia keirin 2017, adalah antara yang diharapkan untuk mencatatkan kejayaan bersejarah dalam penampilan Olimpik kelima dan terakhirnya dari 5 hingga 11 Ogos di Velodrom Nasional di St Quentin-en-Yvelines, kira-kira 40 kilometer (km) dari kota Paris.

Selepas debutnya pada Sukan Beijing 2008, 'The Pocket Rocketman' menjadi atlet Malaysia pertama yang memenangi pingat dalam sukan berbasikal trek Olimpik dengan merangkul gangsa dalam acara keirin di Rio 2016.

Atlet berusia 36 tahun ini hampir meraih emas di Sukan Tokyo 2020 yang tertunda akibat pandemik COVID-19, namun kesilapan taktikal menyebabkan  wakil Great Britain Jason Kenny melakukan pecahan solo dari kumpulan utama menyebabkan Azizulhasni berpuas hati dengan pingat perak.

Selain perlu berada dalam keadaan fizikal terbaik, Azizulhasni perlu berhati-hati dengan taktik lawannya dan kondisi kesihatannya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.

Harapan juga tinggi untuk Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk keluar dari bayangan Azizulhasni dan menjadi ‘kuda hitam’ untuk meraih tempat di podium manakala debutan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dijangka menimba pengalaman dan menjadi pesaing pingat di Sukan Los Angeles 2028.

Berdasarkan prestasi dalam dua tahun kebelakangan ini, Harrie Lavreysen dari Belanda, yang memenangi 13 pingat emas di Kejohanan Dunia, Matthew Richardson (Australia), Nicolas Paul (Trinidad dan Tobago), Kevin Quintero dari Colombia, serta dua pelumba Jepun, Ota Kaiya dan Shinji Nakano adalah antara pesaing utama untuk podium dalam acara pecut dan keirin di Paris 2024.

Dalam pada itu, trio memanah wanita negara, yang diketuai oleh Ariana Nur Dania Mohamad Zairi,19, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh, dijadualkan untuk pusingan ranking individu esok dan mesti kekal fokus sepenuhnya dan tenang menghadapi kuasa besar seperti Korea Selatan, China dan Mexico untuk mencapai rekod peribadi baharu mereka.

Skuad terjun, yang menyumbang gangsa dalam acara 10m platform wanita melalui Datuk Pandelela Rinong di London 2012 dan perak dalam acara platform seirama melalui Pandelela-Cheong Jun Hoong di Rio 2016, mungkin pulang tanpa pingat, sama seperti di Sukan Tokyo.

Nur Dhabitah Sabri yang menamatkan di tempat keempat dalam acara 3m papan anjal wanita pada edisi sebelum ini mungkin boleh mencabar untuk pingat namun berdasarkan prestasi semasanya, dia kelihatan jauh daripada prestasi terbaik manakala debutan Bertrand Rhodict Lises berharap untuk mendapatkan tiket ke final acara 10m platform individu lelaki.

Selain itu, penembak Johnathan Wong Guanjie (10m  sir pistol) dan angkat berat Muhammad Aniq Kasdan (61kg) diharapkan dapat melepasi peringkat kelayakan dan jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi pula akan mencuba mencatat masa di bawah 10 saat (s) dengan memperbaharui rekod kebangsaan 10.09s dalam acara riben biru.

Atlet Malaysia lain yang akan beraksi termasuk badminton perseorangan wanita Goh Jin Wei , pelumba basikal Nur Aisyah Mohamad Zubir (lebuh raya), pemain golf Gavin Kyle Green dan Ashley Lau, pelayar Khairulnizam Mohd Affendy (ILCA 7 dinghy) dan Nur Shazrin Mohamad Latif (ILCA 6 dinghy) serta perenang Khiew Hoe Yan (400m gaya bebas lelaki) dan Tan Ruoxin (100m kuak dada wanita).

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ramalan, marilah kita berharap agar semua atlet Malaysia berjaya melangkah jauh engan menanti pemenang pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik.

Lagipun keajaiban sering berlaku di Sukan Olimpik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan