AGC BANTAH PEMILIK AKAUN MEDIA SOSIAL MULAKAN SEMAKAN KEHAKIMAN 

24/07/2024 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan bantahan terhadap permohonan seorang pemilik akaun media sosial mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyekat akaun TikToknya.

Peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipolamin berkata AGC memfailkan bantahan itu semalam atas alasan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Na’im Brundage bukan tindakan yang sesuai, dan dia menamakan pihak yang salah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid. Peguam Zaid Malek mewakili Na’im, manakala peguam A.Ruebankumar mewakili Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, Pengerusi MCMC dan MCMC selaku responden.

Terdahulu pada prosiding hari ini, Hakim Ahmad Kamal menetapkan 28 Okt depan untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Na’im memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun lepas untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan yang terkandung di dalam surat bertarikh 1 April 2024 untuk menyekat dua akaun TikToknya.

Dalam afidavit sokongannya pemohon berkata beliau kerap memuat naik video di dua akaun TikToknya, dengan kandungan video itu merupakan luahan pandangan serta pendapat beliau berkenaan isu-isu semasa, namun Mac lepas beliau mendapati bahawa akaun-akaun TikTok itu telah disekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan