1,671 PEGAWAI, ANGGOTA POLIS DIBUANG KERJA DALAM TEMPOH 10 TAHUN - JIPS BUKIT AMAN

25/07/2024 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Seramai 1,671 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan hukuman buang kerja atas pelbagai kesalahan sejak 2014 hingga Jun tahun ini, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 15,546 pegawai dan anggota dikenakan pelbagai hukuman tatatertib, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuka serta melaksanakan siasatan yang melibatkan 40,436 kertas siasatan tatatertib (KST) dan kertas enkuiri tatatertib (KET).

“Bagi pelaksanaan teras pematuhan, dari semasa ke semasa kira-kira 10,000 hingga 20,000 petugas dipantau dan diperiksa secara langsung oleh Cawangan  Pematuhan JIPS selaku badan pemerhati,” katanya ketika berucap pada sambutan satu dekad penubuhan JIPS di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Azri berkata keutamaan pemantauan adalah ke atas petugas barisan hadapan yang berurusan secara langsung dengan masyarakat, iaitu bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan mematuhi undang-undang, peraturan, arahan dan prosedur operasi standard.

“Mana-mana pegawai yang dikesan melakukan salah laku akan diambil tindakan sewajarnya. Prinsip asasnya, semakin kerap pemeriksaan dibuat, semakin tinggi tahap pencegahan,” katanya.

Azri berkata sepanjang tahun lepas 19,352 pegawai dan anggota diperiksa dengan 1,396 orang dikesan melakukan pelbagai kesalahan salah laku, manakala bagi tahun ini pula 11,221 pegawai dan anggota diperiksa dalam tempoh Januari hingga Jun lepas dengan 689 orang dikesan melakukan pelbagai salah laku.

Beliau berkata Cawangan Risikan dan Operasi JIPS yang berperanan utama sebagai unit pengesanan dan pengesahan juga telah melaksanakan ribuan operasi dan membuat tangkapan ke atas 798 orang pegawai polis yang dipercayai terlibat dengan pelbagai kesalahan seperti judi, dadah dan kunjungan ke pusat hiburan yang tidak wajar.

Dalam tempoh 10 tahun, beliau berkata JIPS menerima serta mengendalikan hampir 50,000 aduan dan maklumat khasnya berkaitan isu rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan