WANG LEBIH RM2 JUTA DICURI DARI BANK DIPINDAHKAN KE 11 AKAUN - POLIS

25/07/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Seorang kerani sebuah bank di Kuala Kuala Kangsar, Perak sempat memindahkan wang lebih RM2 juta yang dicuri ke dalam 11 akaun berbeza sebelum ditemukan meninggal dunia pada 5 Julai lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wang terbabit dikeluarkan daripada tiga akaun simpanan tetap melibatkan 108 transaksi sejak 14 Feb 2023 hingga 24 Jun 2024.

“Siasatan sedang dijalankan kerana kita dapati kebanyakan wang telah digunakan, selain dipindahkan ke akaun milik saudara-mara, kenalannya serta syarikat.

“Seorang mangsa yang merupakan pendeposit berusia 69 tahun menyedari wangnya dikeluarkan pada 5 Julai sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak bank,” katanya pada sidang media mingguan JSJK di sini hari ini.

Ramli memaklumkan siasatan berhubung kes itu tetap diteruskan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan walaupun suspek telah meninggal dunia. 

“Hasil siasatan perlu disudahkan, jadi kita masih teruskan siasatan ini termasuk mereka (pemilik 11 akaun) yang menerima wang terbabit,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat satu lagi kes kehilangan wang daripada akaun bank melibatkan nilai kerugian melebihi RM2 juta dikesan berlaku pada 9 Julai lepas.

Kegiatan kerani itu hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan hadir ke bank terlibat untuk membuat pengeluaran wang pada 27 Jun.

Bagaimanapun, pendeposit berkenaan mendapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan mereka sudah ditutup dan menafikan pernah membuat penutupan atau mengeluarkan wang daripada akaun masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan