TIPU TAWARAN KERJA DALAM TALIAN: EMPAT REMAJA ANTARA SEMBILAN DITAHAN

25/07/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Empat remaja bawah umur antara sembilan individu yang ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai operator panggilan dan pengurus data di pusat panggilan yang melakukan penipuan tawaran pekerjaan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sembilan individu itu ditahan dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Sungai Besi, Isnin lepas.

Beliau berkata mereka terdiri dua lelaki dan dua wanita tempatan serta lima lelaki warga China berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 18 telefon bimbit, empat komputer riba, lima set komputer dan masing-masing satu rangkai anak kunci beserta kad akses, set skrip perbualan, router dan bagasi,” katanya pada sidang media mingguan JSJK di sini hari ini.

Sindiket itu disyaki memulakan operasi sekitar Jan 2024 dan mengendalikan platform Lehuigoua yang digunakan sebagai laman sesawang menyerupai platform e-dagang dan dipromosikan sebagai tempat sah untuk membeli barang atau perkhidmatan.

“Platform ini mendakwa berkolaborasi dengan platform e-dagang terkenal seperti Taobao, Tmall dan JD.com. Namun, hakikatnya ia skema penipuan lebih besar dan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat China.

“Sindiket ini mendakwa mangsa berpeluang mendapatkan komisen hasil penjualan barangan dan mereka yang berminat bekerja melalui platform ini akan dimasukkan dalam kumpulan Telegram dan segala komunikasi serta arahan diberikan melalui kumpulan itu,” katanya.

Ramli berkata komisen yang dijanjikan berubah-ubah dari 0.3 peratus hingga 0.6 peratus dan sering menjadikan janji untuk memberikan pendapatan tinggi sebagai umpan.

“Siasatan setakat ini turut mendapati sindiket mempunyai akses terhadap akaun mangsa di platform berkenaan. Ini membolehkan mereka mengubah data seperti kredit dan keuntungan serta sering menunjukkan kewujudan transaksi palsu bagi menarik kepercayaan mangsa,” katanya.

Lima daripada sembilan individu yang ditahan direman hingga esok, manakala baki empat yang lain dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan