Projek LCS: Bekas Pengarah Urusan BNS gagal batal tuduhan pecah amanah RM21 juta

26/07/2024 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan Ahmad Ramli, 80, selepas mendapati isu kecergasan mental pemohon untuk dibicarakan dan membela diri (dalam kes dihadapinya) harus disiasat oleh hakim bicara. 

"Oleh itu, permohonan pemohon untuk membatalkan ketiga-tiga pertuduhan itu ditolak dan kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk hakim bicara membuat penilaian berhubung kecergasan mental pemohon," katanya.

Bekas Panglima Tentera Laut itu menerusi peguamnya memfailkan notis usul pada April lepas untuk membatalkan ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya dan memohon agar beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan berkenaan atas alasan adalah tidak adil untuk beliau dibicarakan dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Anak perempuan pemohon, Rinnie Nor Ahmad Ramli, 50, dalam afidavit sokongannya menyatakan bahawa setelah menjalani pemeriksaan perubatan, bapanya telah disahkan mengalami keadaan progressive neurodegenerative dan keadaan ini konsisten dengan moderate mixed dementia (nyanyuk).

Menurut Rinnie, bapanya tidak akan berupaya untuk menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku semasa perbicaraan atau soalan-soalan yang mungkin dikemukakan kepadanya selain tidak berupaya untuk mengingati peristiwa-peristiwa atau apa yang telah dibangkitkan semasa perbicaraan.

"Pemohon tidak berupaya untuk memberi arahan-arahan yang tepat dan efektif kepada peguam-peguamnya dan wujud kemungkinan besar kesihatan pemohon akan terjejas akibat perbicaraan," katanya dalam afidavit itu.

Rinnie berkata bapanya juga mempunyai batu-batu hempedu yang menyebabkan beliau sakit abdomen dan disebabkan umurnya, pemohon menghadapi risiko yang besar sekiranya melakukan apa-apa pembedahan untuk membuang pundi hempedu dan batu-batu hempedu berkenaan.

Sementara itu, menerusi afidavit balasan difailkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan bahawa hakim bicara tidak berpeluang untuk mengetahui keadaan kesihatan Ahmad Ramli kerana beliau hanya hadir ke mahkamah sebanyak dua kali iaitu pada 16 Ogos 2022 sewaktu dituduh dan semasa sebutan kes pada 21 Nov 2022, manakala pada tarikh-tarikh lain, peguam telah memohon agar tertuduh dikecualikan kehadirannya di mahkamah.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong, manakala Ahmad Ramli yang dikecualikan kehadirannya di mahkamah diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Alex Tan Chie Siam dan Mohd Yunos Shariff.

Mahadi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata 30 Julai ini ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen.

Pada 5 Feb lepas, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Ahmad Ramli untuk menggugurkan tiga pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramli sebagai Pengarah Urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah terhadap harta terbabit dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.

Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 hingga 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 hingga 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan