Kes Teoh: Polis Mungkin Panggil Semula Semua Saksi

02/08/2024 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula semua pihak yang terlibat dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock sekiranya mendapat arahan membuka kembali kes tersebut.

"Sejurus arahan diberikan kami akan siasat semula kes itu, apabila kita buka kembali kertas siasatan kes ini semua aspek terlibat perlu dilihat dan kemungkinan besar kita akan panggil semua yang terlibat, termasuk ahli keluarga," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan kes itu.

Anwar turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu pada 5 Sept 2014.

Mendiang Teoh yang juga pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri Selangor ketika itu Ean Yong Hian Wan, ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Sementara itu, mengenai perkembangan kes samun bersenjata melibatkan tiga anggota Pasukan Gerakan Am yang ditahan semalam, Suhaily berkata seorang lagi suspek telah menyerah diri pada 1.40 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Beliau berkata polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan.

"Suspek yang menyerah diri awal pagi tadi merupakan orang awam manakala seorang lagi suspek yang sedang dicari juga merupakan orang awam dan PDRM memberi jaminan tidak akan bertolak ansur dalam siasatan kes ini," katanya.

Bagi kes berasingan membabitkan suspek lelaki berusia 31 tahun yang disyaki menculik Albertine Leo Jia Hui, 6, di pusat beli-belah di Iskandar Puteri pada 20 Julai lepas, beliau berkata kertas siasatan telah diserahkan Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

"Kertas siasatan telah diserahkan dan ia adalah kes yang jelas di mana suspek ditangkap ketika bersama dengan kanak-kanak berkenaan," katanya.

Pada 20 Julai lepas, Albertine Leo disedari hilang kira-kira 8.30 malam ketika berada di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri Johor dan kanak-kanak itu kemudian ditemukan selamat dengan suspek di sebuah hotel murah di Batang Kali dekat sini pada 23 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan