Polis tahan 20 warga asing, selamatkan wanita warga Tanzania disyaki mangsa eksploitasi seks

02/08/2024 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Polis menahan 20 warganegara asing termasuk dua kanak-kanak dalam operasi di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang di sini hari ini atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka yang ditahan dalam operasi bermula pada 10.30 pagi itu berusia dua hingga 40 tahun, terdiri daripada 14 warganegara Nigeria, Tanzania (tiga) Uganda (dua) dan seorang warga Maldives.

Beliau berkata kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM serta  Seksyen 55D, Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya turut menyelamatkan seorang wanita warganegara Tanzania berusia 24 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang relevan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, seorang pekerja di pangsapuri berkenaan yang enggan dikenali berkata banyak aduan  membabitkan warga Afrika di situ seperti membuat bising dan mabuk hingga merosakkan harta benda.

"Pihak pengurusan ada terima aduan mereka membuat bising kerana mabuk selain bergaduh sampai keluar rumah dalam keadaan berbogel,” katanya ketika ditemui Bernama.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan