Bayi Perempuan Baru Lahir Ditemukan Dalam Besen Berhampiran Bengkel Motosikal

15/08/2024 02:57 PM

IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat di dalam sebuah besen berhampiran bengkel motosikal di Pekan Titi Serong, Parit Buntar, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang awam pada 4.50 petang.

"Seorang lelaki yang secara kebetulan melalui di kawasan itu terdengar bunyi rengekan, telah menemukan bayi itu yang dibaluti dengan kain. Lelaki itu kemudiannya menghantar bayi berkenaan ke pusat kebajikan yang berhampiran.

"Kita akan rakam percakapan saksi-saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar bayi itu ditemukan," katanya pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Beliau berkata bayi perempuan seberat 2.1 kilogram itu dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menjalani rawatan lanjut, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan